Monday, December 1, 2008

Sesekali pulang bertemu kawan


Bila bertugas di Tanjong Malim , tidaklah selalu dapat dapat ke Kedah. Kesempatan menyertai Bengkel Penulisan Kreatif Integriti undangan Institut Integriti Nasional Kedah (INSPIN) pada 27 hingga 29 November 2008 yang lalu, memberi peluang juga kepada kami sekeluarga untuk pulang sambil mengikuti bengkel. Terima kasih kepada Tuan Hj Bukhari (Pengarah INSPIN), Tn Hj Haron (Pegawai INSPIN), Sdr Mohd Shuwahyudi (Pegawai INSPIN), Sdr Puzi Hadi (penyair) dan Sdr Saadin Abdullah (penyair) yang bertungkus-lumus menjayakan bengkel. Alhamdulillah, dapat juga bertemu rakan-rakan pengarang Kedah yang sekian lama tidak ditemui.

Takziah kepada Che Soo yang ditinggalkan ibu yang kembali ke rahmatullah. Tahniah Cikgu Ismail Restu kerana karya dibeli perpustakaan.Syukur. Tahniah juga kepada Sdr Saadin yang merealisasikan Mind Vision untuk membantu anak bangsa dan buku dibeli oleh perpustakaan Kedah. Alangkah bahagianya jika perpustakaan Kedah dapat beli buku kumpulan puisi `Danau di Dadaku' dan `Merindu Alam untuk tatapan anak-anak sekolah di Kedah. Apa pun, Insya Allah, amanah yang diberikan untuk menghantar karjaya akan diusahakan untuk ditunaikan. Semoga Allah SWT beri ilham yang baik-baik. Amin.

Saturday, November 22, 2008

Terlalu besar maknanya

MEMBURU KESILAPAN

Telah kita kenal huruf dan angka sewaktu kita masih kecil. Kemudian kita belajar bertahun-tahun mengatur dan menyusun huruf serta ayat. Ketika membina rumah ayat, kita diangerahkan Tuhan kudrat untuk mengindahkan rumah ayat kita menjadi sebuah mahligai karya. Mahligai karya kita itu dihiasi bunga-bunga ilham, kerahan fikiran dan menungan demi menungan di hadapan skrin komputer. Siapa pun kita yang terlalu banyak mengorbankan masa bermain dengan kata-kata atau ayat-ayat yang adakalanya berlaku kesilapan. Kamus pun menjadi teman, buku pun menjadi kawan dan kawan pun menjadi tempat pergantungan. Sekian lama juga dalam menulis ini bersandar pada pembacaan, pengalaman dan pengamatan.Namun adakalanya perlu bingkas dan cepat mencari jalan keluar.Dewan Eja Pro....




Sunday, November 9, 2008

Terimalah Istana Kasih Buat Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid UPSI

Sebagai insan yang diberi tanggungjawab menjaga mahasiswa dan mahasiswi di Kolej Harun Aminurrashid, aku adakalanya teruja dengan sumbangan mereka di kolej. Selepas berhempas-pulas menuntut ilmu dan menjayakan pelbagai aktiviti, mereka akan bertebaran ke seluruh pelosok negara berbakti kepada anak bangsa. Lalu kutuliskan puisi `Istana Kasih' buat mereka. Kepada mereka yang agak rapat dengan aku sekeluarga tanpa mengira waktu berjumpa dan berbual, bila sudah berjauhan, adakalanya terasa rindu pula. Ada yang kami tolong pinangkan. Maklumlah bertemu jodoh di kolej kediaman. Kami sekeluarga doakan semua mahasiswa UPSI khasnya yang selalu bertamu ke rumah mendengar pendapat dan pandanganku, berbaktilah kepada anak bangsa dengan sebaik mungkin. Kepada mahasiswa dan mahsiswi UPSI yang bakal atau sudah bergelar pendidik atau semua bakal pendidik di semua universiti seluruh `Malaya' , terimalah puisi `Istana Kasih'. Puisi ini buat diri terusik apalagi bila AMAR mencipta lagunya untuk kumpulan nasyid, Destiny.



ISTANA KASIH


Kau melangkah kaki
bagai seorang serikandi
kau pasrahkan impian
kepada Tuhan
memberi sinar
penawar kebahagiaan
mekar taman
pengorbananmu.

Seribu harapan
menghiasi kalbu
sejuta impian
menanti di pintu
istana kasih sayang
ayah bondamu.

Di matamu
tergenang kesabaran
di wajahmu
terlukis kesetiaan
nuranimu
danau yang syahdu.

Bila berpisah
kami mengingatimu
bila berjauhan
kami merinduimu
kau pengikat kasih.

Titis keringatmu
kalungan mutiara
di menara ilmu tercinta
kembang pun berdoa
mengharum jiwa.

IHSAN NOORZALI
Canselori UPSI, 2008
Berita Minggu ,20 April 2008

Saturday, November 8, 2008

Puisi Kepada Seorang Pemimpin


TANGISAN DUNIA KEPADA LELAKI PENGUBAT LUKA

Hari ini dunia melihatmu
dengan tangisan dan terharu
selepas bertahun-tahun menanti
seorang lelaki yang perkasa jiwa
memeluk anak-anak Afrika
mencium anak-anak derita
Iraq dan Palestin
yang tidak berdosa.

Doa dunia padamu, Obama
usah membina lagi sejarah
bagaimana menguasai keganasan
tetapi binalah empayar dirimu
bagaimana memanjai wajah sayu
bagaimana menawan hati tercalar
mereka yang sengsara derita
kau bebaskan burung kemanusiaan
menginjak bumi Amerikamu
yang lama mencakar kedamaian
benua-benua indah.

Obama
kau ubatilah maruah bumimu yang hancur
bahawa warna kulit
bukan penjara pemisah
terimalah tangisan dunia padamu
mendengar suara-suara harap
lesu dan daif
dalam kasih sayangmu
agar kau menjadi lelaki pengubat luka
melakar wajah jagat
berdaulat di pangkuan rakyat.

IHSAN NOORZALI
Kolej Harun Aminurrashid, UPSI.
2008.

Berita Harian, 8 November 2008

Tuesday, October 14, 2008

Kumpulan puisi MERINDU ALAM



Salam. Malam ini mataku tidak mampu dilelapkan dan aku sempat menghasilkan puisi untuk dijadikan lagu. Sebenarnya apa yang kucatatkan di sini adalah kesyukuranku yang amat sangat kepada Allah dan terima kasih yang saujana kepada DBP yang menerbitkan kumpulan puisi perseoranganku, Merindu Alam. Baru sahaja masuk kedai-kedai DBP atau agennya minggu lalu. Sebagai penulis, tentulah bahagia dapat menatapnya, tetapi apa yang penting lagi, ia terkumpul semula untuk ditatap pencinta puisi serta sahabat-sahabat yang lama tidak kutemui. Tataplah ya.......puisi-puisiku ini. Ketemu lagi pada coretan akan datang.