Saturday, November 22, 2008

Terlalu besar maknanya

MEMBURU KESILAPAN

Telah kita kenal huruf dan angka sewaktu kita masih kecil. Kemudian kita belajar bertahun-tahun mengatur dan menyusun huruf serta ayat. Ketika membina rumah ayat, kita diangerahkan Tuhan kudrat untuk mengindahkan rumah ayat kita menjadi sebuah mahligai karya. Mahligai karya kita itu dihiasi bunga-bunga ilham, kerahan fikiran dan menungan demi menungan di hadapan skrin komputer. Siapa pun kita yang terlalu banyak mengorbankan masa bermain dengan kata-kata atau ayat-ayat yang adakalanya berlaku kesilapan. Kamus pun menjadi teman, buku pun menjadi kawan dan kawan pun menjadi tempat pergantungan. Sekian lama juga dalam menulis ini bersandar pada pembacaan, pengalaman dan pengamatan.Namun adakalanya perlu bingkas dan cepat mencari jalan keluar.Dewan Eja Pro....




Sunday, November 9, 2008

Terimalah Istana Kasih Buat Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid UPSI

Sebagai insan yang diberi tanggungjawab menjaga mahasiswa dan mahasiswi di Kolej Harun Aminurrashid, aku adakalanya teruja dengan sumbangan mereka di kolej. Selepas berhempas-pulas menuntut ilmu dan menjayakan pelbagai aktiviti, mereka akan bertebaran ke seluruh pelosok negara berbakti kepada anak bangsa. Lalu kutuliskan puisi `Istana Kasih' buat mereka. Kepada mereka yang agak rapat dengan aku sekeluarga tanpa mengira waktu berjumpa dan berbual, bila sudah berjauhan, adakalanya terasa rindu pula. Ada yang kami tolong pinangkan. Maklumlah bertemu jodoh di kolej kediaman. Kami sekeluarga doakan semua mahasiswa UPSI khasnya yang selalu bertamu ke rumah mendengar pendapat dan pandanganku, berbaktilah kepada anak bangsa dengan sebaik mungkin. Kepada mahasiswa dan mahsiswi UPSI yang bakal atau sudah bergelar pendidik atau semua bakal pendidik di semua universiti seluruh `Malaya' , terimalah puisi `Istana Kasih'. Puisi ini buat diri terusik apalagi bila AMAR mencipta lagunya untuk kumpulan nasyid, Destiny.



ISTANA KASIH


Kau melangkah kaki
bagai seorang serikandi
kau pasrahkan impian
kepada Tuhan
memberi sinar
penawar kebahagiaan
mekar taman
pengorbananmu.

Seribu harapan
menghiasi kalbu
sejuta impian
menanti di pintu
istana kasih sayang
ayah bondamu.

Di matamu
tergenang kesabaran
di wajahmu
terlukis kesetiaan
nuranimu
danau yang syahdu.

Bila berpisah
kami mengingatimu
bila berjauhan
kami merinduimu
kau pengikat kasih.

Titis keringatmu
kalungan mutiara
di menara ilmu tercinta
kembang pun berdoa
mengharum jiwa.

IHSAN NOORZALI
Canselori UPSI, 2008
Berita Minggu ,20 April 2008

Saturday, November 8, 2008

Puisi Kepada Seorang Pemimpin


TANGISAN DUNIA KEPADA LELAKI PENGUBAT LUKA

Hari ini dunia melihatmu
dengan tangisan dan terharu
selepas bertahun-tahun menanti
seorang lelaki yang perkasa jiwa
memeluk anak-anak Afrika
mencium anak-anak derita
Iraq dan Palestin
yang tidak berdosa.

Doa dunia padamu, Obama
usah membina lagi sejarah
bagaimana menguasai keganasan
tetapi binalah empayar dirimu
bagaimana memanjai wajah sayu
bagaimana menawan hati tercalar
mereka yang sengsara derita
kau bebaskan burung kemanusiaan
menginjak bumi Amerikamu
yang lama mencakar kedamaian
benua-benua indah.

Obama
kau ubatilah maruah bumimu yang hancur
bahawa warna kulit
bukan penjara pemisah
terimalah tangisan dunia padamu
mendengar suara-suara harap
lesu dan daif
dalam kasih sayangmu
agar kau menjadi lelaki pengubat luka
melakar wajah jagat
berdaulat di pangkuan rakyat.

IHSAN NOORZALI
Kolej Harun Aminurrashid, UPSI.
2008.

Berita Harian, 8 November 2008