Monday, August 10, 2009

Balada Sekuntum Puspa

Aku amat bersyukur kepada Allah SWT, kerana sahabatku di Kedah tiba-tiba sms dan menyatakan hasrat melagukan puisiku Balada Sekuntum Puspa yang aku cipta sekitar tahun 1988 . Katanya untuk masuk sayembara mencipta lagu puisi. Aku setuju, kerana manalah tahu, jika Allah SWT hendak bantu aku, mudah-mudahan menang. Namun, segalanya di bawah kekuasaan-Nya. Terima kasih Sdra. Ed Lazim. Baru-baru ini, puisi `Sekuntum Kembang Untukmu Guru' diciptakan lagu oleh rakanku , Azam Dungun. Mmmm....nyanyian Jarrito, pelajar muzik UPSI. Sungguh menyentuh hati. Dinyanyikan pada sambutan Hari Guru peringkat UPSI pada 28 Julai lalu. Terima kasih untuk semua yang menyokong usaha-usahaku.

Tuesday, June 2, 2009

Danau Di Dadaku

Kata Hati Ketika Gusarnya Aku

Tidak Tersangkar Rindu Di Perkebunan Kasihku

Ingin kukatakan padamu

tidak tersangkarkan rinduku

sewaktu melewati perkebunan

kasihku

di sisi akar atas tanah kenangan

aku merenung kembang

di tanganmu itu

seharum cinta malam perkasihan

pertama

tidak tersangkarkan aku.

Seakan daun-daun berbicara

di malam itu aku langut bersuara

mencari makna perjalanan

hayatku ini

tidak terkatakan laut tenang pun

bak permaidani di aspal nurani

begitu kita mewirai

menjiwai samudera diri.

Ingin kukatakan padamu

aku bangun dalam sukar

aku beradu dalam payah

hanya kerana cintaku pada

malam bak danau itu

tidak tersangkarkan tangisanku

pada-Mu.

Ihsan Noorzali

UPSI, Tanjong Malim.

1 November 2008

Tentang Merindu Alam



Tajuk : Merindui Alam
Penulis : Ihsan Noorzali
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka
Pengulas : Ani Hamzan

Amat jelas yang menjadi sasaran penulis dalam buku kumpulan puisi terbaharunya, Merindui Alam adalah "keindahan". laitu keindahan "perkataan”, keindahan "kisah" dan keindahan "mesej" yang sememangnya amat dititik beratkan dalam erti "keindahan" sebuah karya sastera.

Beliau menjauhi pemilihan kata-kata yang klise, sebaliknya setiap kata yang dipilihnya telah disaring dengan teliti bagi memberikan makna yang mendalam dan berkesan, malah setiap kata pilihannya kaya dengan unsur perlambangan. laitu perlambangan yang mampu memesrai pembaca dengan fitrah kehidupan dan kejadian melalui unsur alam yang disulami dengan kebesaran Allah sebagai pemilik alam ini.

Dalam sajak "Merindui Alam" yang menjadi judul buku kumpulan puisi ini, mempunyai "keindahan mesej", yang menilai tentang makna kebesaran Allah. Pengarang menyimpulkan dalam sajaknya bahawa, "Tuhanku, segala di jumantara-Mu/siang dan malam/tersirat makna. Pengarang menggunakan perlambangan "bulan" dan "matahari". Pengarang men­catatkan, "Aku rindu padamu bulan/dengan cahaya balik tabirmu/mengundang kecantikan/ kurindu jua padamu matahari/meski wajah kemarahanmu/ membakar hidupku/hingga kukehilangan arah/per­jalanan mencari syahdu.

Begitu juga dalam sajak "Percakapan" yang mempunyai "keindahan mesej" di sebalik "keindahan perkataan" yang disaring oleh penulis. Pengarang memberikan pesanan dalam percakapan, "usah meletakkan istana/atau menara tinggi atas bibirmu hingga hilang daya menghitung/kemelut di atas ­bumi kerana/menara itu nanti menghempapmu jua Sebaliknya, pengarang menasihatkan melalui bait sajaknya ini, "Binalah pondok sederhana atas/bibirmu agar sering basah/mengucapkan apa-apa kerana/ semuanya seperti pondok itu.

Melalui sajak juga, seorang penyair juga dapat mengabadikan "keindahan kisah" yang dilaluinya, Umpamanya dalam sajak "Seorang Isteri dan Segelas Susu" yang merakamkan kisah kebahagiaan hidup dalam rumah tangga yang isteri menjadi penyerinya isteri yang menyerahkan kesetiaan dan kepatuhan kepada suami tercintanya. Sajak ini ditulis berdasarkan kisah yang diceritakan oleh teman tentang keistimewaan isterinya. Hingga penyair merumuskan "sesungguhnya/isterinya itu menghadiahkan/warna indah syahdu/kepada yang bernama/pelukis masa depan/dirinya.

Demikianlah bagaimana unsur "keindahan" sastera menjadi tunjang kepada 124 buah sajak Ihsan Noorzali atau nama sebenarnya Ghazali Din yang berasal darl Kampung Tengah, Kuala Kedah. Beliau yang pernah bertugas sebagai Pembantu Penguasa Kastam di Jabatan Kastam Diraja Malaysia pada tahun 1981 hingga 2005, kini bertugas sebagai Pegawai Penerbitan, di Unit Perhubungan Awam di Universiti Pendidikan Sultan Idris, (UPSI). Kumpulan puisi Ihsan Noorzali ini benar-benar memaparkan kematangan dalam gaya persembahan penulisan sajak yang diceburinya sejak tahun 1980-an hingga kini.

Sumber : Dewan Sastera November 2008 2 comments

Sunday, May 24, 2009

KEPADAMU GURU KUHADIAHKAN PUISI

SEKUNTUM KEMBANG UNTUKMU GURU

Guru
hari ini kuberikan padamu
sekuntum kembang
dari taman hatiku
terimalah kasih
harum budi jasamu
mewangikan hidup ini
mekar suci.

Guru
namamu kubawa berlari
bersama seribu musim
kehidupanku sarat luka
dalam pencil waktu
aku meneguk bahagia
hingga kukenal angka
dan memesrai huruf
untuk kucatat wajah dunia
hingga redup mata-mataku
menanti waktu pulang
abadi.

Guru
tanganmu yang mendidikku
tangan itulah menadah doa
memohon anak didikmu
memimpin diri mengingati selalu
wajah ayah bonda
menafsir erti damai
tanah air.

Ihsan Noorzali
BHKA,UPSI
2009

Berita Harian, 23 mei 2009

Friday, May 8, 2009

Cakap-cakap Tentang Tulis Puisi

Terima kasih kepada Pejabat Kursi Tun Abdul Ghafar Baba UPSI yang sudi menjemputku bercakap tentang teknik menulis puisi pada 9 Jun2009 di Dewan Sri Tanjung , UPSI. Dengan diri kerdil, aku hanya sekadar ingin sedikit pengalaman bersama peserta Bengkel Penulisan Kreatif. Kata urusetia, tempatnya masih ada. Bukan puisi sahaja, ada ceramah tentang novel, cerpen, editing dan teknik penulisan berkesan oleh ayahanda , Dato' Prof Dr Mohd Yusof Hasan dari Pusat Pendidikan Global Aminuddin Baki. Apapun, aku ingin sekali bertemu dengan kalangan peserta yang mungkin ada antaranya nanti karya mereka bakal terpapar di dada akhbar atau majalah. Insya Allah. Begitulah doa kita.