Sunday, November 9, 2008

Terimalah Istana Kasih Buat Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid UPSI

Sebagai insan yang diberi tanggungjawab menjaga mahasiswa dan mahasiswi di Kolej Harun Aminurrashid, aku adakalanya teruja dengan sumbangan mereka di kolej. Selepas berhempas-pulas menuntut ilmu dan menjayakan pelbagai aktiviti, mereka akan bertebaran ke seluruh pelosok negara berbakti kepada anak bangsa. Lalu kutuliskan puisi `Istana Kasih' buat mereka. Kepada mereka yang agak rapat dengan aku sekeluarga tanpa mengira waktu berjumpa dan berbual, bila sudah berjauhan, adakalanya terasa rindu pula. Ada yang kami tolong pinangkan. Maklumlah bertemu jodoh di kolej kediaman. Kami sekeluarga doakan semua mahasiswa UPSI khasnya yang selalu bertamu ke rumah mendengar pendapat dan pandanganku, berbaktilah kepada anak bangsa dengan sebaik mungkin. Kepada mahasiswa dan mahsiswi UPSI yang bakal atau sudah bergelar pendidik atau semua bakal pendidik di semua universiti seluruh `Malaya' , terimalah puisi `Istana Kasih'. Puisi ini buat diri terusik apalagi bila AMAR mencipta lagunya untuk kumpulan nasyid, Destiny.



ISTANA KASIH


Kau melangkah kaki
bagai seorang serikandi
kau pasrahkan impian
kepada Tuhan
memberi sinar
penawar kebahagiaan
mekar taman
pengorbananmu.

Seribu harapan
menghiasi kalbu
sejuta impian
menanti di pintu
istana kasih sayang
ayah bondamu.

Di matamu
tergenang kesabaran
di wajahmu
terlukis kesetiaan
nuranimu
danau yang syahdu.

Bila berpisah
kami mengingatimu
bila berjauhan
kami merinduimu
kau pengikat kasih.

Titis keringatmu
kalungan mutiara
di menara ilmu tercinta
kembang pun berdoa
mengharum jiwa.

IHSAN NOORZALI
Canselori UPSI, 2008
Berita Minggu ,20 April 2008

No comments: