Tuesday, June 2, 2009

Tentang Merindu Alam



Tajuk : Merindui Alam
Penulis : Ihsan Noorzali
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka
Pengulas : Ani Hamzan

Amat jelas yang menjadi sasaran penulis dalam buku kumpulan puisi terbaharunya, Merindui Alam adalah "keindahan". laitu keindahan "perkataan”, keindahan "kisah" dan keindahan "mesej" yang sememangnya amat dititik beratkan dalam erti "keindahan" sebuah karya sastera.

Beliau menjauhi pemilihan kata-kata yang klise, sebaliknya setiap kata yang dipilihnya telah disaring dengan teliti bagi memberikan makna yang mendalam dan berkesan, malah setiap kata pilihannya kaya dengan unsur perlambangan. laitu perlambangan yang mampu memesrai pembaca dengan fitrah kehidupan dan kejadian melalui unsur alam yang disulami dengan kebesaran Allah sebagai pemilik alam ini.

Dalam sajak "Merindui Alam" yang menjadi judul buku kumpulan puisi ini, mempunyai "keindahan mesej", yang menilai tentang makna kebesaran Allah. Pengarang menyimpulkan dalam sajaknya bahawa, "Tuhanku, segala di jumantara-Mu/siang dan malam/tersirat makna. Pengarang menggunakan perlambangan "bulan" dan "matahari". Pengarang men­catatkan, "Aku rindu padamu bulan/dengan cahaya balik tabirmu/mengundang kecantikan/ kurindu jua padamu matahari/meski wajah kemarahanmu/ membakar hidupku/hingga kukehilangan arah/per­jalanan mencari syahdu.

Begitu juga dalam sajak "Percakapan" yang mempunyai "keindahan mesej" di sebalik "keindahan perkataan" yang disaring oleh penulis. Pengarang memberikan pesanan dalam percakapan, "usah meletakkan istana/atau menara tinggi atas bibirmu hingga hilang daya menghitung/kemelut di atas ­bumi kerana/menara itu nanti menghempapmu jua Sebaliknya, pengarang menasihatkan melalui bait sajaknya ini, "Binalah pondok sederhana atas/bibirmu agar sering basah/mengucapkan apa-apa kerana/ semuanya seperti pondok itu.

Melalui sajak juga, seorang penyair juga dapat mengabadikan "keindahan kisah" yang dilaluinya, Umpamanya dalam sajak "Seorang Isteri dan Segelas Susu" yang merakamkan kisah kebahagiaan hidup dalam rumah tangga yang isteri menjadi penyerinya isteri yang menyerahkan kesetiaan dan kepatuhan kepada suami tercintanya. Sajak ini ditulis berdasarkan kisah yang diceritakan oleh teman tentang keistimewaan isterinya. Hingga penyair merumuskan "sesungguhnya/isterinya itu menghadiahkan/warna indah syahdu/kepada yang bernama/pelukis masa depan/dirinya.

Demikianlah bagaimana unsur "keindahan" sastera menjadi tunjang kepada 124 buah sajak Ihsan Noorzali atau nama sebenarnya Ghazali Din yang berasal darl Kampung Tengah, Kuala Kedah. Beliau yang pernah bertugas sebagai Pembantu Penguasa Kastam di Jabatan Kastam Diraja Malaysia pada tahun 1981 hingga 2005, kini bertugas sebagai Pegawai Penerbitan, di Unit Perhubungan Awam di Universiti Pendidikan Sultan Idris, (UPSI). Kumpulan puisi Ihsan Noorzali ini benar-benar memaparkan kematangan dalam gaya persembahan penulisan sajak yang diceburinya sejak tahun 1980-an hingga kini.

Sumber : Dewan Sastera November 2008 2 comments

No comments: